Tuesday, March 4, 2014

PEWARISAN KES KEMATIAN SERENTAK


 

 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan Hukum Pewarisan Bagi Kes Kematian Serentak. Muzakarah telah memutuskan bahawa mana-mana ahli keluarga yang meninggal dunia secara serentak dalam kejadian yang sama atau sebaliknya dan tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu bagi menentukan hak pewarisan, maka mereka tidak akan saling mewarisi antara satu sama lain kerana berdasarkan syarat-syarat pewarisan, waris (al-warith) hendaklah masih hidup semasa kematian orang yang mewariskan (al-muwarrith). Oleh itu, harta pusaka si mati akan dibahagikan kepada waris-waris yang hidup tanpa mengambilkira bahagian ahli keluarga yang mati bersamanya.

Bagi merekodkan waktu kematian, perakuan pakar perubatan hendaklah diterimapakai dan dicatatkan dalam Sijil Kematian.
 

Keterangan/Hujah:

1.   Bagi kes ahli-ahli keluarga yang meninggal secara serentak yang tidak dapat ditentukan siapa meninggal terlebih dahulu dalam kejadian kapal karam, kebakaran, tertimbus dalam runtuhan, kemalangan jalan raya dan sebagainya, Jumhur Fuqaha’ kecuali mazhab Hanbali berpendapat bahawa mereka itu tidak saling mewarisi antara satu sama lain kerana syarat pewarisan ialah waris (al-warith) hendaklah masih hidup sewaktu kematian orang yang yang mewariskan (al-muwarrith) sedangkan dalam kes kematian serentak syarat tersebut tidak dipenuhi. Dalam kejadian tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu di kalangan ahli keluarga, maka mereka tidak saling mewarisi antara satu sama lain.

2.   Berdasarkan pendapat Jumhur Fuqaha’, harta pusaka si mati dibahagikan kepada waris-waris yang hidup tanpa mengambil kira bahagian ahli keluarga yang mati bersamanya. Sebagai contoh: sekiranya dua (2) orang adik beradik meninggal dunia secara serentak dalam kebakaran. Setiap seorang daripada mereka meninggalkan wang simpanan berjumlah RM90,000 beserta seorang ibu, seorang anak perempuan dan seorang bapa saudara sebelah bapa (‘am).

3.   Menurut pandangan Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’i, harta tersebut akan diwarisi oleh ibu dan anak-anak perempuan mereka tanpa mengambil kira bahagian saudara yang meninggal bersama. Dalam hal ini, anak perempuan mereka akan menerima ½ atau RM45,000 setiap seorang manakala ibu akan mendapat 1/6 atau RM15,000 daripada jumlah wang simpanan anak pertama dan anak kedua. Manakala selebihnya iaitu RM30,000 akan diperolehi oleh bapa saudara sebelah bapa mereka sebagai ‘asabah yang mengambil lebihan harta pusaka.

4.   Dar al-Ifta’ Mesir telah mengeluarkan fatwa bagi kes kematian serentak melibatkan ahli keluarga dengan menyatakan bahawa ahli keluarga berkenaan tidak mewarisi antara satu sama lain.

5.   Dalam isu pewarisan bagi kes kematian serentak ini, pandangan Jumhur Ulama’ lebih fokus berbanding dengan yang lain di mana Jumhur menetapkan bahawa mereka tidak saling mewarisi antara satu sama lain dan harta pusaka si mati akan dibahagikan kepada waris-waris yang hidup tanpa mengambil kira bahagian ahli keluarga yang mati bersamanya.

6.   Jawatankuasa boleh mengambil pandangan Jumhur dalam menentukan hokum kerana ia berdasarkan kepentingan dan maslahah umat Islam

http://img1.blogblog.com/img/icon18_email.gifhttp://img2.blogblog.com/img/icon18_edit_allbkg.gif
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to FacebookShare to Pinterest

No comments:

Post a Comment